JAWATANKUASA PERWAKILAN PELAJAR

POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi Julai 2009

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Sesi  Julai 2009
7:08 PM

BAKTI SISWA 2008

Posted by JPP




Yan,Kedah - Program Bakti Siswa 2008 anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dengan kerjasama Parlimen Jerai bersama penduduk Kampung Tualang telah diadakan di Kampung Tualang, Bukit Besar, Yan, Kedah. Setinggi-tinggi ucapan terima kasih ditujukan kepada penduduk Kampung Tualang khasnya pengerusi JKKK yang telah memberikan kerjasama dengan menerima mahasiswa Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin untuk mengadakan program ini di kampung mereka. Program ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam iaitu bermula petang Jumaat 21 November 2008 hingga petang Ahad 23 November 2008. Seramai 54 mahasiswa Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang melibatkan pelbagai kaum telah menyertai program ini. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ustaz Firdaus b Jaafar, Ahli Parlimen Jerai dan turut dihadiri oleh En Muzaini b Azizan, Pegawai Khas (kawasan) kepada Menteri Besar Kedah. Sepanjang program program ini berlangsung, mahasiswa telah berkampung di sini dan berada bersama keluarga angkat. Mahasiswa dan masyarakat sememangnya dua unsur yang saling memerlukan. Oleh itu , program ini sangat penting diadakan kerana ia sememangnya memberi manfaat kepada mahasiswa dan masyarakat untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Mahasiswa yang menimba ilmu di Institusi Pengajian Tinggi perlu menyumbangkan ilmu yang diperolehi kepada masyarakat untuk pembangunan negara.

•Sementara itu, masyarakat pula yang pelbagai identiti akan terus menjadi penerima idea-idea mahasiswa bagi menuju perubahan yang diharapkan. Mahasiswa yang sibuk dengan tugas utama berpeluang menimba pengalaman dengan mencurah khidmat bakti kepada masyarakat. Justeru itu, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar PTSS merangka dan bekerjasama dengan penduduk Kampung Tualang untuk melaksanakan satu projek yang diberi nama Program Bakti Siswa 2008 (BAKSIS’08). Kerjasama sebegini diharapkan menjadi jambatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara pihak Politeknik dengan masyarakat khasnya penduduk Kampung Tualang. Melalui program ini diharapkan agar mahasiswa dapat belajar dan mencari pengalaman yang mungkin tidak diperolehi di kampus. Aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang program ini sememangnya berguna dalam rangka menambah atau mengasuh softskill mahasiswa. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung ialah motivasi persediaan UPSR bagi pelajar darjah 5, program fardu ain, sukaneka cilik cerdas, sukan rakyat, ekspedisi menangkap ayam kampung pada waktu malam, kenduri baksis dan gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Masjid Zaher Kampung Tualang. Semoga pengalaman yang diperolehi selama 3 hari ini akan meningkatkan kematangan diri serta dapat menjana semangat dan melahirkan mahasiswa yang mempunyai modal insan yang berakhlak mulia, beretika, inovatif dan produktif sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan negara. Semoga ikatan yang telah terjalin antara mahasiswa dan keluarga angkat sepanjang program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa